Thursday 6 November 2014

Sajak rintihan Al-Quran

Bismillah..

Aku lupa,
Kau nota dari Pencipta.
Aku lupa,
Kau tanda cinta dari Dia.
Aku lupa,
Hadirnya engkau untuk menenangkan,
Untuk menunjukkan,
Untuk menjelaskan.

Bila hati rasa galau,
Lembaranmu ku buka,
Bila rindu mengasak dada,
Satu satu surahmu ku baca,
Dengan linangan air mata,
Moga menjadi bukti di sisi Tuhanku.
Bahawa aku mengharapkan pertolonganNya,
Bahawa aku percaya kekuasaanNya,
Aku percaya mukjizat RasulNya.

Terkadang aku juga alpa,
Aku membiarkan engkau di atas meja.
Sehari, dua hari, tiga hari.
Bila aku kembali,
Engkau seolah berkecil hati.
Lidahku kelu, liat menyebut kalimat-kalimat,
Yang dari kecil aku ulangi.
Tanpa sedar,
Aku mula menganggapmu satu diri.
Seolah engkau ada perasaan,
Seolah engkau mengerti.

Rasa sayang mula mekar,
Wujudmu mula penting,
Hilangmu mula ku rasa.
Sesekali tiba,
Sayu dan hiba.
Memelukmu juga yang meredakan.
Betapa aku ingin kita terus bersama,
Di dunia,
Di kubur,
Di akhirat.
Moga satu ketika,
Kau dapat aku lihat secara zahir,
Datang dengan senyuman,
Menghulurkan tangan, seperti layaknya seorang sahabat.